Tan Sri Dr Ismail Ibrahim
TOKOH ILMUAN DARULAMAN 2021 |
|||
TAHUN : Nama : Bidang : Disiplin : |
2021 Tan Sri Dr Ismail Ibrahim Sosio Budaya Agama |
MAKLUMAT TOKOH |
||
Tan Sri Dr Ismail Ibrahim kelahiran Kampung Permatang Berangan, Mukim Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah pada 12 Mei 1937. Beliau merupakan mantan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang pertama dan pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan. Sebelum itu, beliau menjadi pensyarah di UKM dan UIAM. Ismail mula bersekolah di Sekolah Melayu Pinang Tunggal dan di Maktab Mahmud, Alor Setar (1949–1957). Beliau melanjutkan pengajian ke Kolej Islam Malaya dan Universiti Al-Azhar serta lulus Sarjana Sastera (Pengajian Bahasa Arab) (1967). Seterusnya beliau lulus PhD dalam bidang Pengajian Arab (1972–1975) dari University of St. Andrews, Scotland, United Kingdom. Beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Ibrahim, Sungai Petani dan sekembali dari Al Azhar di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur sebelum menjadi Pegawai Penyelidik Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (1967–1972). Kemudian menjjadi pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM sehingga dilantik menjadi Dekan Fakulti Pengajian Islam, UKM (1978–1982). Beliau seterusnya dipinjamkan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), 1983, seterusnya mulai 1986 menjadi tenaga akademik tetap sebagai Profesor dan Pengarah Pusat Bahasa UIAM. Pada tahun 1991, beliau menamatkan tugasnya di UIAM kerana telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Insititut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) (1992-2002) yang pertama. Beliau seterusnya dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi (2005-2008). Disamping itu, Dr Ismail juga dilantik menjadi Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan (2000–2005), Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahli Majlis Fatwa Sarawak, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM serta pelbagai jawatan lain termasuk Ahli Rabitah Al Alam Al Islamie, Ahli Lembaga Universiti Islam Andalusia, di Kordoba, Sepanyol, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, ahli penaja Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan ahli penaja ahli Lembaga Pengarah TV AlHijrah serta Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (2018-sekarang). Beliau juga telah dilantik menjadi profesor dan penyandang pertama Kursi Syeikh Abdullah Fahim, di UKM (2008–2012) Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin dan Ahli Lembga Pengarah UNISZA (2012-2016) Beliau turut menerima ijazah kehormat UKM dan lantikan Profesor Adjung beberapa universiti, termasuk UiTM . Dalam pada itu beliau telah menulis 13 buah buku dan menjadi kolumanis beberapa buah akhbar termasuk Sinar Harian, serta membuat pembentangan di pelbagai negara. Buku penulisan beliau termasuklah Kembara Kehidupan: Dari Atap Rumbia ke Gedung Diplomat, Isu Islam Semasa, Oktober yang Tidak Dinantikan, Pemikiran Dr. Mahathir Tentang Islam, Gagasan Satu Malaysia Peradaban dan Identiti Bangsa dan Penerepan Nilai-nilai Murni dalam Pentadbiran Awam. Tan Sri Dr Ismail Ibrahim telah dinugerahi Tokoh Maal Hijrah 1422H/2001. Selain itu, beliau juga ialah penerima Anugerah Perdana Media Islam Negara (AMIN) Peringkat Kebangsaan 1998 dan Tokoh Bahasa Arab Kebangsaan oleh Universiti Sains Islam Malaysia. Beliau juga dianugerahi JSM, Darjah Dato’ Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K.) dan Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah (S.G.M.K.) oleh DYMM Sultan Kedah. Beliau telah dianugerahi PSM oleh Seri Paduka Yang Di Pertuan Agung pada 2021. Negeri Kedah bertuah melahirkan ilmuwan hebat ini. |
||