Dato Dr Shaari Isa
TOKOH ILMUAN DARULAMAN 2018 |
|||
TAHUN : Nama : Bidang : Disiplin : |
2018 Dato Dr Shaari Isa Sosio Budaya Sastera |
MAKLUMAT TOKOH |
||
Dato Dr Shaari Isa kelahiran Bedong,Kedah pada 18 April 1933. Beliau merupakan seorang akauntan bertauliah, guru, pensyarah dan penulis. Beliau mula bersekolah di Tanjung Dawai, Pinang Tunggal dan Sekolah Melayu Sungai Petani disamping mengaji Al Quran dengan beberapa guru agama. Kemudian beliau ke Sekolah Menengah Ibrahim dan menjadi pelajar cemerlang di situ. Beliau dipilih menyertai latihan perguruan di Kirkby College, Liverpool, England (1953-1955). Beliau memulakan kerjaya sebagai guru sementara Sekolah Menengah Ibrahim (1953) sebelum menjadi Penolong Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1955- 1962). Keinginan untuk belajar terus membara dan beliau telah mengambil Higher School Certificate secara persendirian dan lulus pada tahun 1962. Dengan kelulusan itu beliau berjaya memperolehi biasiswa untuk menyambung pengajian ke Victoria University, Wellington, New Zealand hingga lulus Bachelor of Commerce and Administration dan Diploma in Business Administration. Sekembali ke tanah air beliau diamanahkan sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Pelajaran ( 1967-1985) yang bertanggungjawab untuk merancang kursus perdagangan dan perakuanan di sekolah vokasional, sekolah teknik dan politeknik. Pada tahun 1985 beliau menjadi Bendahari Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah sehinggalah bersara pada 1992. Beliau kemudian meneruskan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa. Pada tahun 1994, kehausan ilmu yang terus dirasa nya telah membawa Shaari sekali lagi kembali ke New Zealand untuk menyambung pengajiannya di University of Waikato, Hamilton untuk sarjana dan PhD dalam bidang perakaunan. Ilmu itu terus dikongsi melalui syarahan kepada pelajar UIAM dan Universiti Malaya. Beliau juga pernah di iktiraf dengan Tokoh Pendidik Swasta, 2015. Dalam sisi lain Dr Shaari merupakan seorang penulis akademik dan kreatif yang hebat. Beliau telah menulis lebih 60 buah buku termasuk buku akademik berkaitan perakaunan dan masyarakat. Sekembali dari Kirkby beliau dapati belum ada buku teks untuk pelajaran sains , maka ditulisnya buku teks Sains Umum Tingkatan 1, 2 dan 3 dan buku Mengajar Sains Permulaan Di Sekolah Rendah. Sebagai pakar perakaunan beliau juga telah menulis buku Accounting Principles, Prinsip Pengauditan dan Perakaunan Awalan. Kemahiran beliau berbahasa Inggeris telah manfaati sepenuhnya dengan menulis beberapa buku dalam Bahasa Inggeris antaranya Kirkby: The Life and the Love dan A Voice in the Woods. Beliau juga aktif dalam penulisan kreatif dan terkenal sebagai penulis novel Melayu terpanjang melalui trilogi Lepaskan Kembali Aku ke Laut. Dato Dr Shaari Isa yang disokong oleh isterinya Puan Wan Zaliha Wan Abdullah masih aktif menulis dan beriadah. Pasangan ini masih mampu bermain tenis. Beliau berpesan agar generasi muda perlukan hobi bagi menyihatkan badan dan membaca bagi menyihatkan otak. |
||