Wan Sulaiman Wan Sidek



 

 TOKOH ILMUAN DALAM SEJARAH - Bidang Sosio Budaya

     
wansulaiman.png  Nama :  Wan Sulaiman Wan Sidek
 Bidang :
 Sosio Budaya
 Disiplin :
 Agama
 Tempat Lahir :
 Kampung Pulau Tengah, Mukim Padang Kerbau
 Daerah Asal :
 Kota Setar

 

 MAKLUMAT TOKOH

 
Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek merupakan Syeikhul Islam Kedah pada tahun 1920 dan menjadi pengasas "Madrasah Al-Hamidiah" sebuah sekolah agama moden yang pertama di Kedah dan terawal di Semenanjung pada tahun 1916 . Haji Wan Sulaiman dilahirkan pada tahun 1874 di Kampung Pulau Tengah dalam Mukim Padang Kerbau, Daerah Kota Star.

Mendapat pendidikan awal dengan belajar Muqadam dan baca jawi. Ketika berusia 9 tahun, Haji Wan Sulaiman belajar Bahasa Melayu di Sekolah Haji Din sehingga lulus darjah tiga. Pada usia 12 tahun, dihantar pula belajar membaca al-Quran dan Pengetahuan Agama Islam dengan Tuan Guru Haji Ismail dan belajar Bahasa Inggeris dengan Doktor Gomez.

Pada tahun 1887 beliau menerus pengajian di Mekah selama 17 tahun dan menguasai pelbagai bidang ilmu termasuklah bahasa Arab, Nahu, Saraf, Hadis, pembacaan dan pengkajian al-Quran dan ilmu Falakiah. Ketika di Mekah, Haji Wan Sulaiman mengahwini Wan Kalsom binti Wan Abdul Hamid dan dikurniakan 11 orang cahayamata.

Pada tahun 1904, beliau dilantik menyertai Majmuk Ulama yang berkumpul setiap malam Jumaat di Masjid Zahir untuk bermuzakarah hal yang berkaitan dengan agama Islam. Pada tahun 1906 beliau dilantik sebagai kadi dan kemudian menjadi Kadi Besar, 1910 sehinggalah dilantik Syeikhul Islam Kedah pada tahun 1920.

Haji Wan Sulaiman sentiasa menyebarkan pengetahuan di seluruh negeri disamping menyampaikan kuliah di Masjid Negeri dan mengajar di kediamannya di Limbong Kapal, Alor Star. Beliau menentang keras amalan khurafat dan ajaran sesat ketika itu. Beliau telah menubuh sekolah agama moden pada tahun 1916 dengan nama "Madrasah Al-Hamidiah" mengambil sempena nama Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Madrasah Al-Hamidiah telah berjaya melahirkan ramai tokoh masyarakat. Beliau juga terlibat dalam perancangan pembangunan Maktab Mahmud.

Haji Wan Sulaiman banyak menghasil kitab dan risalah meliputi 20 buah karya yang mencakupi pelbagai bidang. Beliau banyak menyentuh tentang pentingnya mempelajari ilmu Tarekat Naksyabandiyah yang dibicarakan olehnya dalam beberapa karyanya seperti Putuhatul-Kadihiyat, Nihayatul-Matlub, Haudhul-Maurud, Nursataak, Fakihatun-Janiah dan Mizanul-uklali wal-Udaba. Salah sebuah karyanya yang berbentuk syair atau nazam berjudul "Nazam Qasidah Lagu lbyari" telah dihasilkan olehnya di atas keretapi dalam tahun 1926 ketika turut mengiringi Tunku Mahmud ke Bangkok. Isi puisi tersebut mengandungi huraian tentang "Aqaidul-Iman' di mana amat sesuai diajar kepada kanak-kanak terutamanya di peringkat asuhan atau pra sekolah melalui lagu atau nasyid.

Haji Wan Sulaiman meninggal secara mengejut di rumahnya di Limbong Kapal pada 2 Mei 1935 pada usia 61 tahun. Haji Wan Sulaiman , telah diberi penghormatan dengan pengkebumian di Makam Diraja. Selain itu, Sekolah Kebangsaan Kanchut di bandar Alor Star telah dinamakan iaitu Sekolah Kebangsaan Wan Sulaiman Sidek.
 

 

 


Logo Rasmi

logo

Info Pusat

Darulaman Berbudaya Ilmu

Pusat Ilmuan Darulaman merupakan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan dibawah Akta Syarikat bukan untuk keuntungan tetapi berhasrat meraikan budaya ilmu di kalangan penduduk Negeri Kedah Darul Aman.

Hubungi Kami

PUSAT ILMUAN DARULAMAN

Batu 21  ¾, Jalan Naka,
Padang Kerasak,
06300 Kuala Nerang
Kedah Darul Aman

Tel: 019-9505579

Email: pengarah@ilmuandarulaman .com.my

Facebook: Ilmuan Darulaman