Yahya Husin - Jihaty Abadi



 

 TOKOH ILMUAN DALAM SEJARAH - Bidang Sosio Budaya

     
jihaty-abadi.png  Nama :  Yahya Husin - Jihaty Abadi
 Bidang :
 Sosio Budaya
 Disiplin :
 Sastera
 Tempat Lahir :
 Kampung Titi Baru, Kepala Batas, Alor Setar
 Daerah Asal :
 Kota Setar

 

 MAKLUMAT TOKOH

 
Jihaty Abadi atau nama sebenarnya Yahya bin Husin juga mempunyai nama pena lain seperti Noryla, Saiful, Saiful Anuar dan Yahya Abadi. Beliau dilahirkan di Titi Baru, Kepala Batas, Alor Setar Kedah pada 19 Mei 1938. Mula bersekolah di Sekolah Melayu Tok Jalai, Kepala Batas dan Sekolah Melayu Jitra. Kemudian Jihaty mengikuti latihan perguruan antara tahun 1953 hingga 1959 dan ke Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian bahasa dan sastera dari Universitas Nasional, Jakarta pada 1971 dan meneruskan pengajian di Universiti Malaya hingga peringkat sarjana, 1977.

Setelah lulus dari Maktab Perguruan beliau kembali ke Kedah untuk mengajar di beberapa sekolah kebangsaan di Yan, Sik dan Alor Setar. Setelah itu, Jihaty menjadi guru sastera di kelas bimbingan Maktab Mahmud dan juga di Sekolah Arab Perempuan Tarbiah Islamiah, Alor Setar. Peluang sebagai tenaga pengajar sastera ini digunakan untuk mengembangkan lagi bidang persajakannya hingga berjaya meraih beberapa anugerah sastera. Bila beliau lulus peringkat sarjana di UM, beliau menjadi Guru Bahasa, di Universiti Malaya dan menetap di SS2 Petaling Jaya.

Beliau dikenali sebagai seorang penyair dan mula menghasilkan puisinya semenjak tahun 1953 di samping terlibat dalam penulisan novel, esei dan kritikan. Beliau aktif dalam persatuan penulis ketika berada di Kedah dan setelah berhijrah ke Kuala Lumpur. Sebagai ilmuan beliau telah menghasilkan ratusan rencana, cerpen dan puisi. Beliau menulis sekurangnya 21 novel dan antologi cerpen dan puisi.

Jihaty telah menghasilkan 6 buah antologi puisi seperti Sajak-sajak Tangkai Padi (GAPENA: 1966), Anak Rempang Karam di Kota (Pustaka Maha: 1968), Darah Merah (DBP: 1973), Seperti Angin Malam (Pustaka Zakry Abadi: 1974), Gada-gada Merah (Utusan Publication: 1978) dan Saat Belum Berangkat (Media Intelek: 1983). Manakala sajak lain turut termuat dalam lebih dari 21 buah antologi bersama.

Beliau telah menghasilkan 5 buah novel yang berjudul Korban Penari Joget ( The Sentosa Store: 1958), Jalan Penuh Debu (Pustaka Maha: 1967), Terkulai (Pen. Abbas Bandung: 1967), Mereka yang Jahanam (Usaha Remaja: 1973) dan Tumpang Kasih Suami Orang (Usaha Remaja: 1973). Beliau juga telah menulis Sari Sejarah Kesusasteraan Malaysia-Indonesia bersama Azran dan Amida Abdul Hamid) tahun 1979 disamping esei/kritikan dalam Warisan Sastera Pulau Pinang yang diterbitkan oleh Penerbitan Gapena pada tahun 1985.

Beliau aktif dalam pertubuhan penulis dan salah seorang pengasas Persatuan Sahabat Pena Utara Malaya, 1956 dan Persatuan Penulis Muda Kedah pada tahun 1958-1966 dan Jihaty adalah setiausahanya. Pada tahun 1966 bertindak sebagai setiausaha kepada Gabungan Sasterawan Sedar (Gatra) dan juga aktif dalam GAPENA.

Jihaty Abadi telah menerima anugerah S.E.A. Write Award, 1999 dari kerajaan Thailand. Beliau juga menerima Anugerah Penyair GAPENA (1996). Pernah memenangi Hadiah Sastera tahun 1973, 1976 dan 1985 dan Peraduan Sajak-Sajak Kuala Lumpur anjuran Gapena. Sumbangan beliau juga dihargai dengan anugerah Bintang Kebaktian Masyarakat (1987) dan Darjah Ahli Mahkota Kedah (1991).

Jihaty Abadi telah kembali ke rahmatullah pada 8.6.2000 di Hospital Island Pulau Pinang kerana sakit jantung. Jenazah beliau ini disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Titi Besi, Alor Setar.
 

 

 


Logo Rasmi

logo

Info Pusat

Darulaman Berbudaya Ilmu

Pusat Ilmuan Darulaman merupakan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan dibawah Akta Syarikat bukan untuk keuntungan tetapi berhasrat meraikan budaya ilmu di kalangan penduduk Negeri Kedah Darul Aman.

Hubungi Kami

PUSAT ILMUAN DARULAMAN

Batu 21  ¾, Jalan Naka,
Padang Kerasak,
06300 Kuala Nerang
Kedah Darul Aman

Tel: 019-9505579

Email: pengarah@ilmuandarulaman .com.my

Facebook: Ilmuan Darulaman