Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendita Dr Ismail Hussein



 

 TOKOH ILMUAN DALAM SEJARAH - Bidang Sosio Budaya

     
tansripenditaismailhussein.jpg  Nama :  Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendita Dr Ismail Hussein
 Bidang :
 Sosio Budaya
 Disiplin :
 Kebudayaan
 Tempat Lahir :
 Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah
 Daerah Asal :
 Yan

 

 MAKLUMAT TOKOH

 
Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendita (Dr) Haji Ismail Hussein merupakan tokoh yang diangkat masyarakat sebagai pendita. Beliau dilahirkan di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah pada 30 Januari 1032. Bapanya pedagang kecil, abangnya Abdullah seorang Sasterawan Negara, manakala adiknya Ibrahim seorang pelukis antarabangsa.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Limau Dalam, kemudiannya di Sekolah St Michael, Alor Setar sebelum ke Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam jurusan Pengajian Melayu dan mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama pada tahun 1959 dan Ijazah Sarjana pada tahun 1961. Kemudian beliau melanjutkan pengajian di Universiti Leiden hingga tahun 1964.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Malaya sejak 1960 dan dilantik sebagai Profesor Kesusasteraan Melayu pada tahun 1971. Pernah dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan Ketua Jabatan Pengajian Melayu dari tahun 1978 hingga 1984. Pada tahun 1987 beliau telah menjadi Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan berkhidmat di sana hingga 1993.

Beliau menyumbang banyak penulisan, buku dan wacana ilmu. Sebagai Ketua Satu GAPENA (Gabungan Penulis Nasional) beliau telah menggerakkan hubungan kerjasama masyarakat dan kelompok Melayu antarabangsa. Hasilnya Simposium Jaringan Melayu Antarabangsa dan Simposium Melayu Sedunia diadakan. Ini disusuli dengan penubuhan Yayasan Sekretariat Melayu Antarabangsa dan Persidangan Dunia Melayu di Kuala Lumpur, 2001. Beliau juga dilantik sebagai Setiausaha kepada Majlis Sasterawan Nusantara.

Pelbagai pengiktirafan diterima Tan Sri Ismail Hussein antaranya Darjah Setia Diraja Kedah,1980, Ijazah Kehormat Doctor Honoris Causa oleh Universitas Indonesia, 1984. Gelaran Pendita oleh Simposium Dunia Melayu 1985 di Sri Lanka pada tahun 1985. Darjah Panglima Setia Mahkota oleh DYMM Yang di Pertua Agong pada tahun 1993. Universiti Madagaskar menganugerahkannya Doctor Honoris Causa 997. Anugerah Prof Emeritus oleh Universiti Malaya, 1997. Anugerah lain yang diterimanya ialah bintang Datok Dharma Wangsa dari Istana Maimoon Medan dan gelar Linggom Banua Melayu dari masyarakat Harahap Padangsidempuan. Beliau juga menerima Seri Wira Cendekia Mulia Kedah Darul Aman dari DYMM Sultan Kedah pada tahun 2002.

Tan Sri Ismail telah mendirikan rumahtangga dengan Puan Sri Rogayah Abdul Rashid pada tahun 1964 dan dikurniai empat orang cahaya mata. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada 21 Oktober 2014 di Pusat Perubatan Universiti Malaya ketika berumur 82 tahun.
 

 

 


Logo Rasmi

logo

Info Pusat

Darulaman Berbudaya Ilmu

Pusat Ilmuan Darulaman merupakan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan dibawah Akta Syarikat bukan untuk keuntungan tetapi berhasrat meraikan budaya ilmu di kalangan penduduk Negeri Kedah Darul Aman.

Hubungi Kami

PUSAT ILMUAN DARULAMAN

Batu 21  ¾, Jalan Naka,
Padang Kerasak,
06300 Kuala Nerang
Kedah Darul Aman

Tel: 019-9505579

Email: pengarah@ilmuandarulaman .com.my

Facebook: Ilmuan Darulaman