Tun Mohamad Zahir bin Ismail



 

 TOKOH ILMUAN DALAM SEJARAH - Bidang Pengurusan

     
tunmohamadzahirismail.jpg  Nama :  Tun Mohamad Zahir bin Ismail
 Bidang :
 Pengurusan
 Disiplin :
 Undang-Undang
 Tempat Lahir :
 Alor Setar, Kedah
 Daerah Asal :
 Alor Setar

 

 MAKLUMAT TOKOH

 
Mohamad Zahir bin Ismail telah di lahirkan di Alor Setar pada 19 Mac 1924. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Hosba, Jitra sebelum ke Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star dan melanjutkan pelajaran di Lincoln's Inn, London. Selain itu, beliau juga merupakan pemegang diploma dalam bidang kewartawanan. Tun Zahir merupakan peguam Melayu pertama di negeri ini berkelulusan Barrister-at-Law dari Lincoln's Inn, London pada tahun 1955.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Peguambela dan Peguamcara (1956 - 1975). Beliau menceburi politik dengan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (1959) dan di lantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Kedah (1959 - 1963). Seterusnya di lantik sebagai Ahli Dewan Negara (1963 - 1964) dan menjadi Ahli Dewan Rakyat (1964 - 1969) sebelum di lantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Kota Bahru (1975 - 1982). Beliau menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia (1982- 2004) selama 22 tahun dan paling berpengalaman berwibawa dan di hormati dalam proses pengurusan meluluskan undang-undang di parlimen.

Tun Zahir juga bergiat aktif dalam pelbagai pertubuhan antaranya sebagai Pengerusi Lembaga Penyelarasan dan Penasihat Pendidikan Agama Islam (LEPAI), Pro - Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Yang Dipertua Kelab Rotary Alor Star. Di Peringkat antarabangsa Tun pernah mewakili Persekutuan Tanah Melayu ke Bangsa-Bangsa Bersatu, mewakili Persatuan Tanah Melayu dalam Suruhanjaya Penyelidik Cobbold, Presiden Pertubuhan Antara Parlimen ASEAN, Presiden Bersama Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Malaysia, Presiden Kesatuan Parlimen Asia Pasifik, Yang DiPertua Asia Pasific Parliamentary Union,Presiden Persatuan Parlimen Komanwel (Oktober 1995).

Sebagai ilmuan Tun telah menghasil buku disamping artikel dan rencana di dalam majalah dan akhbar. Antara bukunya Sungai Korok Wan Mat Saman, Pendekar Kundur, Cik Siti Wan Kembang, 'Unfederated Malay Statas Land Laws', 'Glimpses of Malay School HOSBA in the Early 30's', Mengejar Kebahagiaan, Bukit Puteri, Bukit Tembaga, The Legend of Langkawi dan Ombak Daratan.

Bagi mengenang jasa beliau dianugerahi pingat dan darjah kebesaran antaranya Johan Mangku Negara pada tahun 1962, S.P.M.K (Kelantan) pada tahun 1975, Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K) pada tahun 1981, Panglima Mangku Negara (P.M.N) pada tahun 1984, Seri Setia Mahkota Kedah (S.S.M) dan Seri Setia DiRaja Kedah (S.S.D.K) pada tahun 2002. Tun Zahir juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia serta Ijazah Doktor Falsafah (Persuratan) dari Universiti Utara Malaysia.

Tun Mohamad Zahir berkahwin dengan Toh Puan Halimatun Saadiah Cik dan mendapat 7 orang anak dan kembali ke rahmatullah pada bulan 14 Oktober 2004 akibat kegagalan buah pinggang ketika berumur 80 tahun di Hospital Kuala Lumpur. Beliau merupakan anak watan Kedah yang telah mengharumkan Negara.
 

 

 


Logo Rasmi

logo

Info Pusat

Darulaman Berbudaya Ilmu

Pusat Ilmuan Darulaman merupakan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan dibawah Akta Syarikat bukan untuk keuntungan tetapi berhasrat meraikan budaya ilmu di kalangan penduduk Negeri Kedah Darul Aman.

Hubungi Kami

PUSAT ILMUAN DARULAMAN

Batu 21  ¾, Jalan Naka,
Padang Kerasak,
06300 Kuala Nerang
Kedah Darul Aman

Tel: 019-9505579

Email: pengarah@ilmuandarulaman .com.my

Facebook: Ilmuan Darulaman